Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025 Online (Program Khas JPA-MARA)
Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025 Online (Program Khas JPA-MARA)|BILAKAH tarikh permohonan Program Khas JPA-MARA (PKJM) tahun 2025 bakal dibuka? Perhatian buat anda pelajar Lepasan SPM 2024 yang berminat dan berkelayakan membuat permohonan Program Khas JPA-MARA (PKJM) ambilan tahun 2025. Untuk makluman anda, permohonan PKJM JPA 2025 boleh dibuat secara atas talian (online) mulai 28 April 2025 sehingga tarikh tutup pada 11 Mei 2025 menerusi Portal Rasmi MARA dan Laman Web JPA. Berikut dikongsikan Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025 Online buat rujukan anda.
Sedia maklum, pelajar Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 dialukan untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) di bawah Program Khas JPA-MARA (PKJM) 2025. PKJM 2025 merupakan penajaan JPA kepada pelajar Bumiputera cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk mengikuti pengajian peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama di dalam negara dan luar negara iaitu di negara Jepun, United Kingdom dan New Zealand dalam bidang-bidang berkaitan. Penajaan program ini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Akademik memperuntukkan kemudahan pengecualian/ pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir dan/ atau dilantik dalam Sektor Awam setaraf dengan kelayakan.
Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025 Online (Program Khas JPA-MARA)
Berikut dikongsikan maklumat berkaitan cara permohonan Program Khas JPA-MARA termasuk syarat kelayakan dan struktur pengajian:
Senarai Program Yang Ditawarkan
Program ini terdiri daripada 3 program di luar negara seperti berikut:
- Program Akademik Jepun
- Program Akademik United Kingdom
- Program Berkembar New Zealand
Untuk dalam negara, program ini akan dijalankan di:
- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP)
- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
- Universiti Multimedia (MMU)
- Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
Tarikh Penting Permohonan PKJM JPA 2025
◾️Tarikh Permohonan: 28 April 2025 (Isnin), 2.00 petang - 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang
◾️Aplikasi Permohonan:
KLIK 👉 https://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=PKJM
Struktur Pengajian
Struktur pengajian bagi penajaan Program PKJM adalah seperti berikut:
A. Program Akademik Jepun
Penajaan ke Jepun merupakan salah satu daripada inisiatif pemerkasaan Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang diperkenalkan oleh Kerajaan sejak tahun 1982.
Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian melalui dua program pendidikan iaitu laluan ke universiti (laluan akademik) dan laluan teknikal melalui Colleges of Technology (KOSEN).
Program Akademik Jepun merupakan program penajaan ke Jepun dalam bidang Kejuruteraan/ Sains dan Teknologi (S&T) dan Sains Sosial.
Kerajaan Jepun menerusi Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT) menentukan kriteria pelajar tajaan Kerajaan Malaysia yang dibenarkan menyambung pengajian di universiti-universiti Jepun termasuklah pusat pengajian bagi program persediaan ke Jepun iaitu Ambang Asuhan Jepun (AAJ) dan Pusat Bahasa Teikyo (PBT).
Pelajar di bawah program ini akan mengikuti program persediaan khas di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya bagi bidang Kejuruteraan/S&T atau Pusat Bahasa Teikyo (PBT) bagi bidang Sains Sosial sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti-universiti di Jepun.
Bermula tahun 2013, pelajar yang akan menyambung pengajian di Jepun hendaklah lulus program persediaan dan Japanese University Admission for International Students (EJU) selain daripada menunjukkan rekod kehadiran yang baik.
B. Program Akademik United Kingdom
Program Akademik United Kingdom merupakan program penajaan ke United Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Sosial.
Pelajar akan ditindik bagi mengikuti program persediaan terpilih sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di 100 buah universiti terbaik di United Kingdom (UK) berdasarkan senarai Times Higher Education (THE) World University Rankings dan/ atau Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings dan /atau Academic Ranking of World Universities (ARWU).
Pelajar akan mengikuti program persediaan selama dua tahun di kolejkolej berikut mengikut bidang pengajian:
Malay College Kuala Kangsar (MCKK) atau Kolej Tunku Kurshiah (TKC) bagi bidang Kejuruteraan/Sains & Teknologi; atau
International Islamic School Malaysia (IISM) bagi bidang Sains Sosial
C. Program Berkembar New Zealand
Program Berkembar New Zealand merupakan program kolaboratif antara Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS) dan konsortium universiti di New Zealand yang melibatkan University of Auckland, Victoria University of Wellington dan University of Canterbury bagi pengajian dalam bidang Sains Sosial khususnya program Perakaunan, Ekonomi, dan Kewangan,
Tempoh pengajian adalah selama dua tahun di KYSBS, merangkumi setahun pengajian peringkat Persediaan dan setahun pengajian peringkat Ijazah Pertama serta dua tahun Ijazah Pertama yang seterusnya di New Zealand.
D. PKJM Dalam Negara
PKJM Dalam Negara meliputi pengajian Persediaan dan Ijazah Pertama di institusi pengajian yang sama. Program ini memfokuskan pengajian dalam bidang kepakaran yang ditawarkan di IPTS Government-Linked Universities (GLU) yang dikenal pasti.
IPTS (GLU) yang dikenal pasti mendapat pengiktirafan ‘Berdaya Saing’ di bawah Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta tersenarai dalam QS World University Ranking.
Syarat Kelayakan Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025
Antara Syarat Kelayakan Biasiswa PKJM JPA adalah seperti berikut:
1. Pemohon DAN salah seorang ibu ATAU bapa berketurunan Melayu/Bumiputera dan warganegara Malaysia.
2. Pemohon disyaratkan bebas daripada penyakit kronik/berjangkit/penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat, serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian.
3. Ibu dan / atau bapa tidak disenaraihitamkan oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
4. Sekiranya berjaya ditawarkan penajaan JPA, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan kewangan/ tajaan daripada mana- mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama.
5. Menduduki peperiksaan SPM 2024 buat kali pertama di mana-mana sekolah menengah atau calon-calon persendirian; dan
6. Umur belum mencapai 19 tahun, atau belum mencapai 20 tahun bagi pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.
Cara Permohonan Biasiswa PKJM JPA 2025 Online
1. Permohonan Program Khas JPA-MARA (PKJM) boleh dibuat secara dalam talian (online) menerusi pautan di https://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=PKJM atau http://www.mara.gov.my mulai 28 April 2025 (Isnin), 2.00 petang hingga 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang.
2. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan diproses.
3. Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini/ meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data.
4. Sebarang perubahan maklumat permohonan selepas tarikh tutup tidak akan diterima.
5. Sekiranya calon membuat semakan semula keputusan SPM, calon perlu segera mengemukakan hasil semakan semula yang diterima daripada Lembaga Peperiksaan dalam tempoh permohonan dibuka sahaja menerusi e-mel lepasanspm2025@jpa.gov.my.
6. Calon diwajibkan mengambil dan melengkapkan Ujian Khas Penajaan Persekutuan (UKPP) yang akan dibuka mulai 28 April 2025 (Isnin), 2.00 petang hingga 11 Mei 2025 (Ahad), 5.00 petang melalui Sistem ePermohonan. Calon yang tidak menduduki ujian ini adalah dikira gagal dan tidak layak ditawarkan penajaan.
7. Permohonan bagi calon yang ingin menggunakan hasil keputusan semakan semula SPM tidak akan dipertimbangkan sekiranya diterima selepas tarikh tutup permohonan iaitu pada 11 Mei 2025, 5.00 petang.
Artikel Berkaitan:
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan Program Khas PKJM, sila hubungi di talian 03-8885 3297 (jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang) atau emelkan ke alamat lepasanspm2025@jpa.gov.my (talian dan e-mel ini hanya aktif dalam tempoh permohonan dibuka sahaja).
Semoga perkongsian Permohonan Biasiswa PKJM JPA tahun 2025 ini dijadikan panduan buat anda semua! Semoga anda berjaya mendapat tawaran PKJM JPA!
Post a Comment